Saturday, April 2, 2011



CERITA SEORANG SAHABAT

Pada suatu hari, dua orang sahabat baik mengembara meninggalkan kampung mereka bagi mencari tempat yang lebih makmur untuk penghidupan baru. setelah sehari berjalan, tiba-tiba tercetus perselisihan faham antara dua sahabat ini ketika mereka sampai di satu persinggahan.

Sahabat pertama yang besar dan tegap tubuhnya, tanpa berfikir panjang telah menampar sahabat baiknya kerana tidak bersetuju dengan keputusannya untuk mengambil simpang ke kiri. Sahabat yang ditampar tadi terkejut. Dia tidak menyangka sama sekali sahabat baik yang disayangi tergamak berbuat demikian terhadapnya.

Air matanya bergenang. Sahabat yang kurus dan kecil tubuhnya termenung seketika. Dia mengambil sebatang kayu lalu menulis sesuatu di atas tanah yang berpasir tempatnya berdiri.
" HARI INI SAHABAT BAIKKU TELAH MENAMPAR PIPIKU ".

Mereka meneruskan perjalanan meredah hutan dan bukit hinggalah merka sampai di sebatang sungai yang dalam dan bertebingkan batu-batu besar. Dua sahabat itu meneguk air sungai tersebut dan kemudian mandi untuk menyegarkan kembali badan yang letih.

Tetapi entah bagaimana, tiba-tiba sahabat yang bertubuh kecil dan kurus tergelincir dari atas batu tempatnya berdiri. lalu dihanyutkan arus sungai yang deras. Hampir sahaja sahabat ini lemas, tetapi dia bernasib baik kerana sahabatnya yang berbadab besar dan tegap berjaya menyelamatkannya.

Di atas tebing yang dipenuhi batu-batu besar itu, sahabat yang berbadan kurus mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang telah menyelamatkannya. Kemudian dia menulis lagi tapi kali ini pada permukaan sebongkah batu besar berhampiran sungai tersebut.
" HARI INI SAHABAT BAIKKU TELAH MENYELAMATKAN NYAWAKU ".

Sahabat yang bertbuh besar dan tegap terpinga-pinga. Lantas dia bertanya:
" Selepas aku menampar mukamu, kau tulis di atas tanah berpasir. Sekarang, selepas aku selamatkan kau daripada lemas, kau tulis pula di atas batu. Kenapa? "

Jawab sahabat yang bertubuh kecil:
" Apabila seseorang melukakan hati kita, catatkan ia di atas pasir supaya ia akan terkambus apabila ditiup angin kemaafan. Tetapi apabila seseorang itu membuat kebaikan kepada kita, maka catatkan ia di atas batu supaya angin kemarahan tidak mampu memadamkannya. "



No comments:

Post a Comment